|
Nailal ![]() Hello..., Welcome to my blog! Nama saya Nailal Muna. Saya lahir pada tanggal 31 Agustus 1997. Saya bersekolah di MAN 3 KEDIRI di kelas 12 IPA 4. Tagboard Nailal Muna ![]() Big Thanks Design : Sharon Emily Basecode : Anugerah Salsa Best viewed in Google Chrome Thank you! |
Cerita Melayu Klasik
SUMPAHAN ULAT TANAH
Hampir
seminggu Tuan Peladang duduk termenung. Musim kemarau memusnahkan tanaman
diladangnya. Tanah menjadi kering-kontang. Tuan Peladang melihat air
simpanannya di dalam tempayan cuma tinggal separuh sahaja lagi. Dia khuatir
jika keadaan kemarau terus berlarutan, ini akan mengakibatkan dia mati
kehausan.
Seekor
lembu kepunyaan Tuan Peladang berada di kandang. Sang Lembu gembira kerana
tidak perlu bekerja di ladang sejak musim kemarau melanda. Namun demikian,
kegembiraan lembu itu tidak lama kerana musim kemarau itu menyebabkan
rumput-rumput segar yang menjadi makanannya kering dan mati. Kini sukar bagi
Sang Lembu itu mendapatkan rumput yang segar.
Pada
suatu hari Sang Lembu mengambil keputusan untuk meninggalkan Tuan Peladang.
Seboleh-bolehnya Sang Lembu ingin membuat sesuatu untuk mengubat kesedihan Tuan
Peladang. Pada suatu malam, Sang Lembu telah keluar meninggalkan kandangnya.
Sang Lembu berjalan untuk mencari sumber air. Setelah jauh berjalan, Sang Lembu
terjumpa dengan sebuah perigi. Sang Lembu berfikir, tentulah perigi itu
mempunyai air tetapi sungguh malang nasibnya kerana tiada air di dalam perigi
tersebut. Sang Lembu berasa sedih dan duduk di tepi perigi buta itu sambil
mengenangkan nasib yang bakal manimpa dirinya.
Sewaktu
Sang Lembu duduk ditepi perigi itu, dia terdengar satu suara memanggilnya.
“Siapa?”
Sang Lembu bertanya kehairanan.
“Aku,
ulat tanah di dalam perigi buta ini.”
“Buat
apa kamu di dalam perigi ini?” soal Sang Lembu lagi.
“Ini
rumahku Sang Lembu. Sudah lama aku di sini sejak perigi ini kering airnya.”
“Tapi
bagaimana kamu boleh hidup tanpa air di sini?” cetus Sang Lembu itu.
“Aku
akan memberitahu kamu kenapa aku boleh hidup di sini tetapi kamu mestilah
berjanji denganku terlebih dahulu.”
“Cakaplah
saja dan aku akan berpegang pada janji-janji kamu itu.”
“Aku
tahu kamu dan Tuan Peladang menghadapi masalah kekurangan air. Aku boleh tolong
mengatasi masalah tersebut.” Sang Lembu tertawa. Dia tidak percaya dengan ulat
tanah. “Dengarlah dulu kata-kata aku ini. Janganlah mentertawakan aku pula,”
marah ulat tanah.
“Aku
minta maaf Sang Ulat. Cakaplah aku bersedia mendengarnya.”
“Sebenarnya
tanah di dalam perigi ini tetap lembap. Kalau digali pasti akan mengeluarkan
air. Air perigi ini akan penuh semula. Justeru itu aku boleh berikan perigi ini
kepada kamu dan Tuan Peladang. Tetapi sebagai ganjaran kamu hendaklah menyuruh
Tuan Peladang menanam tanam-tanaman seperti sayur-sayuran di sekitar perigi
ini. Aku dan kawan-kawanku akan berpindah dari perigi ini tetapi tidak jauh dari
kawasan ini juga.”
“Terima
kasih atas pertolongan kamu itu Sang Ulat. Tapi kenapa tuan aku mesti menanam
tanaman di kawasan perigi ini?”
“Itu
sebagai ganjaran kepadaku. Kamu hendaklah merahsiakan perkara ini dan tidak
memberitahu sesiapa pun tentang perigi ini. Berjanjilah kamu akan menyuruh Tuan
Peladang menanam sayur-sayuran di sini.”
“Baiklah.
Terima kasih di atas pertolongan kamu itu wahai Sang Ulat.”
“Ah!
Perkara biasa saja. Bukankah kita hidup perlu saling tolong-menolong.”
Sang
Lembu pulang dengan hati yang girang. Didapatinya Tuan Peladang masih duduk
termenung. Sang Lembu terus menceritakan tentang penemuan perigi itu kepada
Tuan Peladang. Mendengarkan cerita Sang Lembu, tanpa berlengah-lengah lagi Tuan
Peladang membawa cangkul dan tangga ke perigi yang dikatakan oleh Sang Lembu.
Tuan
Peladang turun ke dalam perigi menerusi tangga yang dibawanya dan terus
mencangkul tanah di dalam perigi tersebut. Tidak berapa lama kemudian, mata air
mulai muncul di permukaan tanah.
Hati
Tuan Peladang bertambah riang. Air mulai memenuhi perigi itu. Tuan Peladang
menepuk-nepuk belakang Sang Lembu yang berjasa terhadapnya. Walaupun begitu
Sang Lembu tidak memberitahu siapakah yang mengesyorkan agar Tuan Peladang
menanam sayur-sayuran di kawasan perigi itu. Tuan Peladang pula tidak banyak
soal dan bersetuju dengan pendapat Sang Lembu untuk menanam tanam-tanaman di
kawasan itu. Ini akan memudahkan lagi baginya mendapat bekalan air.
Beberapa
bulan kemudian, sayur-sayuran tersebut tumbuh dengan suburnya. Tuan Peladang berasa
sangat gembira. Di samping itu, Tuan Peladang juga menperolehi pendapatan
daripada hasil menjual air. Semakin bertambah lumayan pendapatan Tuan Peladang.
Pada
suatu hari, Tuan Peladang datang ke kawasan perigi untuk memetik
sayur-sayurannya tetapi alangkah terkejutnya Tuan Peladang apabila mendapati
sayur-sayurannya terkorek di sana-sini. Tuan Peladang menuduh Sang Lembu
memakan dan merosakkan tanaman yang ditanamnya. Sang Lembu tidak mengaku
bersalah. Tuan Peladang semakin marah dan memukul belakang Sang Lembu
sekuat-kuat hatinya. Sang Lembu menjerit kesakitan dan terpaksalah dia
berterus-terang. Mendengarkan cerita Sang Lembu, Tuan Peladang rasa tertipu.
Tuan
Peladang tidak mempercayai bahawa ulat tanah boleh membantu memberikan air.
Tuan Peladang mencari ulat tanah di merata-rata tempat. Beberapa kawasan tanah
digali oleh Tuan Peladang. Akhirnya Tuan Peladang berjumpa dengan sekelompok
ulat tanah. Tanpa membuang masa lagi, Tuan Peladang mengambil racun lalu
disemburkannya ke arah ulat-ulat tersebut. Banyaklah ulat tanah yang menjadi
korban.
Seekor
ulat tanah sempat melarikan diri. Ulat tanah itu tahu Tuan Peladang tidak
berhati perut dan mengenang budi. Ulat tanah bersumpah untuk membalas dendam.
Ulat tanah tidak mahu melihat Tuan Peladang dan Sang Lembu di kawasannya lagi.
Sememangnya Sang Ulat Tanah menyimpan kemarahan yang amat sangat.
Tiba-tiba
air perigi menjadi kering kembali. Habis kesemua tanaman Tuan Peladang terkulai
layu. Tuan Peladang tersentak melihat perubahan yang mendadak itu. Dia berasa
sangat menyesal kerana membunuh ulat-ulat tanah. Sang Lembu pun turut bersedih
mengenangkan bencana yang bakal diterimanya nanti. Dari satu arah Sang Lembu
terdengar suara Sang Ulat Tanah berkata sesuatu.
“Tidak
semua orang itu boleh dijadikan kawan. Lebih baik hidup bersendirian dari
berdampingan dengan orang yang tak tahu mengenang budi.”
Kini
Sang Lembu mengerti tentang kesilapannya. Dialah yang patut disalahkan kerana
memberitahu Tuan Peladang tentang ulat tanah yang tinggal di kawasan itu.
Pengajaran :
1.
Sudah terhantuk baru terngadah.
2.
Janji mesti ditepati.
|